Saturday 13 April 2013

TIPS MENGURUSKAN WANG DENGAN BIJAK


                                  

Setiap individu inginkan keselesaan dalam kedudukan kewangan mereka. Oleh itu, untuk mencapainya seseorang itu perlulah mempunyai suatu sistem perancangan kewangan atau sistem pengurusan kewangan yang berkesan agar perbelanjaan dapat diuruskan dengan baik. Sesiapa sahaja jika pendapatannya diuruskan dengan bijak maka, kedudukan kewangannya pasti akan berada dalam keadaan baik dan stabil.

Kebolehan mengurus kewangan dengan bijak merupakan satu kemahiran yang penting supaya individu boleh berbelanja mengikut kemampuan dan mencapai matlamat kewangan yang diingini. Setiap individu perlu mengawal kewangan meskipun tidak mempunyai masalah kewangan. Cara seseorang  menggunakan wang pada hari ini akan memberi kesan terhadap cara hidupnya pada masa akan datang. Tambahan lagi, terdapat kemungkinan  kita akan menghadapi masalah kewangan akibat peristiwa di luar kawalan  seperti penyakit, kehilangan sumber pendapatan dan kecemasan keluarga yang hanya dapat diselesaikan dengan wang.
Bagi yang tidak bijak menguruskan kewangan, mereka mungkin akan menjadi muflis. Kebanyakan golongan yang menjadi muflis adalah merupakan golongan belia di antara umur 20 hingga 30 tahun, manakala golongan lelaki peratusannya adalah lebih tinggi berbanding wanita. Peratusan kaum melayu yang muflis pula berada pada tahap yang membimbangkan iaitu sebanyak 51%. Hal ini disebabkan tiada teknik yang betul dalam mengurus atau merancang kewangan.

Dengan ini satu kaedah diperlukan bagi menguruskan kewangan. Cara yang mudah adalah dengan mengikuti langkah-langkah menguruskan kewangan dengan sistematik yang akan dibincangkan dengan lebih terperinci di dalam blog ini. Teknik yang dicadangkan adalah mudah dan fleksibel agar dapat dipraktikkan oleh segenap lapisan masyarakat, terutamanya kepada pelajar dan pekerja.  

SIAPAKAH YANG MEMERLUKAN PENGURUSAN KEWANGAN?
   
Sesungguhnya setiap orang memerlukan pengurusan kewangan bagi melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam menjalani kehidupan seharian. Malahan setiap dari kita mempunyai impian yang harus dilaksanakan.namun begitu semua ini memerlukan kewangan yang mencukupi. golongan yang memerlukan pengurusan kewangan ialah

a) Pelajar
Pelajar merupakan golongan pertama di peringkat awal yang harus mempelajari sistem pengurusan kewangan yang sistematik bagi membantu dalam apa jua keadaan. Pelajar yang dimaksudkan adalah dari kalangan pelajar sekolah menengah, pelajar IPTA dan IPTS. Tanpa pengurusan wang yang bijak pelajar mungkin mengalami kesempitan wang terutamanya bagi mereka yang hanya bergantung harap kepada pinjaman wang PTPTN.

b) Pekerja
Pekerja juga harus mengetahui dan mempelajari cara-cara pengurusan wang yang betul. Hal ini kerana apabila seseorang itu meningkat dewasa semakin banyak tanggungjawab yang harus dipikul. Mereka harus menyimpan wang untuk diri sendiri, keluarga dan sebagainya. Sekiranya pengurusan wang tidak dilaksanakan dengan betul, mereka akan mengalami masalah kewangan seperti kehabisan wang pada pertengahan bulan dan tiada sebarang simpanan. Bagi golongan yang melakukan pekerjaan sendiri mereka juga akan mengalami masalah kewangan sekiranya pekerjaan yang dilakukan tidak berjaya. Mereka akan mengalami hutang yang kian meningkat dan berkemungkinan akan muflis.

c) Suri rumah
Kita tidak seharusnya beranggapan menjadi seorang suri rumah tidak memerlukan perancangan kewangan yang sistematik. Suri rumah amat memerlukan perancangan kewangan yang betul kerana mereka harus menguruskan pelbagai aspek dalam kehidupan mereka antarnya mereka harus mengetahui kaedah dalam membuat pembelian keperluan harian seisi keluarga bagi membolehkan setiap bajet yang diberikan dapat disimpan untuk masa hadapan mahupun kecemasan. Suri rumah juga harus mengetahui keadaan semasa seperti keadaan ekonomi, harga barangan di pasaran dan sebagainnya,.

d) Pesara
Selain itu, pesara juga merupakan golongan yang tidak terlepas daripada orang yang memerlukan pengurusan kewangan. Walaupun dikatakan golongan ini mampu untuk membuat pengurusan kewangan yang sistematik, namun terdapat juga pesara yang kehabisan wang pencen dalam masa singkat kerana mereka tidak mempunyai pendedahan yang betul tentang teknik pengurusan kewangan. 

Justeru, tidak kira sesiapa sahaja anda, anda tetap memerlukan teknik pengurusan kewangan yang betul bagi menjamin kewangan anda berada dalam keadaan yang stabil pada setiap masa.

BAGAIMANA MASALAH KEWANGAN BOLEH BERLAKU??





1. Berbelanja secara berlebihan

Ramai dalam kalangan kita seringkali membeli secara terus iaitu melakukan setiap pembelian tanpa berfikir sama ada barangan yang hendak di beli itu adalah kehendak ataupun keperluan. Sikap masyarakat yang tidak membuat sebarang perancangan semasa membuat pembelian terutamanya pada musim perayaan dan jualan murah akan mengakibatkan masyarakat berbelanja lebih daripada kemampuan dan membeli barangan yang tidak perlu sehingga mendatangkan pembaziran. Hal ini kerana barangan tersebut mungkin sekadar untuk digunakan pada masa-masa tertentu sahaja seperti pada musim perayaan, hari keramaian dan sebagainya. 

2. Terlalu banyak berhutang

Masalah kewangan juga boleh berpunca daripada ketidakstabilan kewangan yang menyebabkan individu tertentu terdorong untuk meminjam wang daripada pihak tertentu. Desakan kewangan akan berlaku apabila seseorang itu ingin memyambung pelajaran, berkahwin, membeli aset tetap seperti rumah, membayar sewa dan pelbagai lagi yang mendorong individu meminjam wang daripada pihak bank dan pihak yang berkepentingan lain seperti ahli keluarga, sahabat handai, dan jiran tetangga. Lebih memburukkan keadaan jika seseorang itu menggunakan jalan mudah dengan meminjam wang daripada pihak yang salah seperti kongsi gelap atau 'ahlong'. Masalah ini akan menjadi lebih rumit apabila kita gagal untuk melangsaikan hutang yang dipinjam daripada golongan yang disebut di atas dan secara tidak langsung, masalah ini boleh menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi renggang.

3. Menggunakan banyak kad kredit dalam satu masa

Penggunaan kad kredit sebenarnya bukan dapat menyenangkan kehidupan kita tetapi menambahkan lagi  beban hutang kerana perlu membayar kadar faedah yang tinggi. Pengguna tidak sedar akan bahaya penggunaan kad  kredit.Walaupun kita nampak penggunaan kad kredit lebih mudah, namun hakikatnya terdapat pelbagai keburukannya. Jika anda mempunyai dua atau tiga kad kredit, sebenarnya anda telah melakukan kesilapan. Oleh itu hapuskan dua lagi kad kredit tersebut sebelum masalah hutang anda menjadi bertimbun-timbun. Kesilapan menggunakan kredit kad boleh menyebabkan anda menjadi bankrup, kerana kadar faedah bagi hutang tersebut sentiasa naik dan jika anda membayar sedikit sahaja kemungkinan anda hanya membayar jumlah faedahnya sahaja, tidak termasuk hutang kad kredit yang sebenar.

4. Tiada simpanan

Masalah kewangan juga boleh berlaku sekiranya individu tidak mempunyai simpanan. Hal ini berlaku disebabkan individu tidak mengamalkan sikap menabung sejak dari kecil. Ibu bapa seharusnya memainkan peranan yang penting untuk menyemai sikap menabung dalam diri anak-anak mereka sejak kecil. Bak kata pepatah Melayu, "Melentur buluh biarlah daripada rebungnya". Selain itu, ibu bapa juga dipertanggungjawabkan untuk memberi kesedaran kepada anak-anak mereka tentang kepentingan menabung di masa hadapan. Kita tidak akan tahu jenis kecemasan yang bakal terjadi pada masa akan datang, jadi jika tiada simpanan, kita mungkin akan mengalami krisis kewangan. Secara kesimpulannya, setiap individu perlu mempunyai sedikit simpanan untuk kegunaan pada masa hadapan.


5. Terlalu bergantung harap terhadap orang lain
Ada dalam kalangan individu terlalu bergantung harap kepada orang lain untuk menyumbangkan wang bagi menguruskan kehidupan seharian. Senario ini seringkali berlaku kepada mereka yang tidak bekerja. Golongan ini akan meminta wang daripada ahli keluarga, sahabat handai mahupun jiran tetangga untuk membeli keperluan seharian tanpa mahu berusaha untuk mendapatkan wang dengan keringat sendiri. Sesetengah orang ingin mengecapi kekayaan dalam masa yang singkat dengan melabur wang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab seperti skim cepat kaya.

KESAN MASALAH KEWANGAN



1. Tekanan perasaan

Masalah kewangan boleh menyebabkan individu yang terlibat dengan masalah kewangan akan sentiasa berasa runsing .

perkara ini disebabkan seseorang itu sering tiada wang dan akhirnya boleh membawa kepada gejala sosial yang tidak sihat seperti peras ugut, merompak dan lebih serius lagi cenderung untuk membunuh diri. 

2. Membuat pinjaman daripada along
Individu yang mempunyai masalah ini akan memikirkan jalan penyelesaian yang paling cepat. Hal ini akan menyebabkan mereka berfikiran sempit dan cenderung untuk meminjam daripada pihak yang salah. Contohnya, meminjam daripada ceti haram ataupun lebih dikenali sebagai 'ahlong'. Selain itu, mereka juga akan meminjam daripada badan-badan yang tidak diiktiraf seperti Pusat Peminjaman Wang Sementara. Peminjam akan dikenakan kadar faedah yang tinggi dan akhirnya peminjam tidak mampu membayar hutang tersebut lalu diburu oleh pemiutang. Individu tersebut akan hidup dalam ketakutan dan keadaan ini boleh mengancam nyawa diri sendiri dan juga ahli keluarga. Konklusinya, mereka yang berhutang ini bukan sahaja menyusahkan diri mereka sendiri malah turut mengancam nyawa orang yang tersayang.

3. Masalah rumah tangga
Sekiranya masalah kewangan berlaku dalam institusi kekeluargaan, semestinya akan menyebabkan timbulnya masalah rumah tangga. Suami isteri akan sering bertengkar kerana sering kesempitan wang untuk memjelaskan sewa rumah, bil-bil, membeli keperluan harian dan sebagainya dan akhirnya sehingga boleh membawa kepada kes penceraian.

4. Muflis
Bagi individu yang sentiasa berhutang terutamanya dengan institusi kewangan seperti pihak bank, jika mereka tidak mampu untuk membuat pembayaran balik maka pihak bank berhak untuk mengistiharkan muflis kepada golongan ini dan hartanya akan dirampas atau disita oleh pihak bank. Kebanyakan golongan yang muflis merupakan golongan yang gagal menjelaskan hutang kad kredit dan kadar faedah yang tinggi dan akhirnya membawa mereka kepada muflis. 

APAKAH YANG HARUS DILAKUKAN BAGI MENGATASI MASALAH KEKANGAN KEWANGAN?

Mengurus kewangan dengan langkah dan teknik yang betul akan membantu anda dalam mengatasi masalah kewangan bagi menjamin kehidupan yang selesa pada masa akan datang.

4 LANGKAH URUS WANG DENGAN BIJAK

Merancang perbelanjaan adalah langkah pengurusan kewangan yang bijak tidak kira sama ada gaji anda besar ataupun kecil. Di antara kesilapan yang sering dilakukan berkaitan duit ialah terlalu banyak hutang, lambat membayar bil dan tidak menyimpan wang untuk kegunaan masa depan. Anda boleh mengelak daripada melakukan kesilapan yang sama dengan mengawasi tabiat berbelanja anda. Urus wang anda dengan bijak melalui langkah berikut:


Langkah 1: Menetapkan matlamat kewangan anda.
Matlamat kewangan mencerminkan apa yang anda hendak lakukan dengan wang anda dalam tempoh yang tertentu. Penentuan matlamat akan memastikan anda berbelanja serta menyimpan secara teratur untuk mencapaimatlamat anda. Matlamat ini boleh berbentuk jangka masa pendek, sederhana atau panjang bergantung kepada faktor-faktor seperti usia, pendapatan, taraf perkahwinan dan jumlah tanggungan.

Langkah 2: Jejaki ke mana perginya wang anda.
Seterusnya, anda perlu memantau tabiat berbelanja anda. Mulakan dengan merekod segala perbelanjaan dalam tempoh tertentu, contohnya, selama lapan minggu. Ini bertujuan untuk mengetahui ke mana wang anda telah dibelanjakan, bukan untuk mengurangkan perbelanjaan.

Langkah 3: Menilai tabiat berbelanja anda
Anda perlu menilai tabiat berbelanja sekiranya anda tidak mempunyai sebarang lebihan wang pada akhir bulan atau ingin meningkatkan jumlah simpanan. Teliti senarai perbelanjaan harian dan nilai sama ada ia merupakan keperluan atau kehendak. Kurangkan perbelanjaan yang berkaitan dengan kehendak. Kenalpasti dan elak tabiat buruk ketika berbelanja.

Langkah 4: Menulis rancangan perbelanjaan anda
Setelah anda mengkaji tabiat berbelanja anda, anda boleh membuat pelan perbelanjaan yang akan membantu anda mencapai matlamat kewangan anda. Anda boleh menggunakan “Buku Pengurusan Belanjawan Keluarga” yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia untuk membantu pengguna membuat dan memantau perbelanjaan harian, bulanan dan tahunan.





                                   

No comments:

Post a Comment