Wednesday 15 May 2013

PENYERAHAN KUTIPAN DERMA WARGA IPG KSM


KEMATIAN  BAPA KEPADA SAUDARA NAJMI FARIS PPSMI dan NUR SYARMIN SEM 7 PISMP

AJK BIRO KEBAJIKAN MENYERAHKAN WANG SUMBANGAN KEPADA SAUDARA NAJMI

Ta‘ziah dari segi istilah bererti menyuruh seseorang dengan bersabar dan mendorongnya dengan pahala yang dijanjikan, memperingati daripada dosa, mendoakan bagi si mati dengan keampunan dan mendoakan bagi orang yang terkena musibah dengan mendapat penggantinya. (Mughni al-Muhtaj: 1/481)

Sudah menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat untuk menziarahi keluarga si mati atau orang yang terkena musibah. Amalan serupa ini amatlah digalakkan oleh Islam. Akan tetapi hendaklah diingat dan dijaga batasan-batasan dan etika yang diajarkan oleh Islam berhubung menziarahi keluarga si mati atau orang yang terkena musibah.

Hukum Ta‘ziah


Para fuqaha tidak berselisih pendapat dalam mengharuskan ucapan ta‘ziah kepada orang yang ditimpa musibah sama ada disebabkan kematian atau kebakaran dan sebagainya. Bahkan ta‘ziah itu sunat diucapkan kepada mereka yang ditimpa musibah, sebagaimana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

"Tiadalah seorang mukmin yang mengucapkan ta‘ziah pada saudaranya yang ditimpa musibah, melainkan Allah Subhanah memberikannya pakaian daripada pakaian kehormatan di hari qiamat.”(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Adapun ta‘ziah itu sunat diucapkan kepada ahli keluarga musibah pada keseluruhannya, sama ada terdiri daripada orang dewasa lelaki dan perempuan atau pun kanak-kanak yang berakal. Akan tetapi tidak boleh mengucapkan ta‘ziah itu kepada perempuan yang muda melainkan sesamanya perempuan, suami atau pun mahramnya. Ini kerana ditakuti akan mendatangkan fitnah.

Waktu Dan Jangka Masa Ta‘ziah


Sunat mengucapkan ta‘ziah kepada ahli keluarga musibah sebelum dan selepas menguburkan si mati. Adapun lebih afdhal mengucapkan ta‘ziah itu selepas menguburkan si mati kerana kesibukan ahli keluarga pada menguruskan mayat si mati. Berlainan halnya jika ahli keluarga itu terlalu sedih dan resah sebelum dikuburkan mayat tersebut, maka afdhal didahulukan ta‘ziah itu bagi menghilangkan kesedihan dan keresahannya.

Ucapan ta‘ziah kepada ahli keluarga musibah itu, hendaklah tidak melebihi kira-kira tiga hari lebih kurang. Kerana dalam jangka masa tiga hari itu, ahli keluarga musibah pada kebiasaannya hati mereka sudah mula tenang dan tidak merasa sedih dan resah lagi. Oleh yang demikian, makruh mengucapkan ta‘ziah kepada ahli keluarga si mati selepas berlalunya tiga hari agar tidak menimbulkan lagi kesedihan mereka. Akan tetapi jika salah seorang di antara orang yang mengucapkan ta‘ziah dan orang yang diucapkan ta‘ziah itu tidak ada pada masa tersebut, maka harus diucapkan ta‘ziah itu selepas tiga hari.

Menyediakan Makanan Bagi Ahli Keluarga Si mati


Sunat bagi jiran dan kaum karabat yang jauh menyediakan makanan untuk ahli keluarga si mati, sebagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada ahlinya ketika mendapat khabar kematian Saiyidina Ja‘far bin Abi Thalib: yang maksudnya :

“Kamu buatkanlah makanan bagi keluarga Saiyidina Ja‘far, sesungguhnya telah didapati mereka itu kesibukan (atas kematian Saiyidina Ja‘far).”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Haram menyediakan makanan kepada orang yang meratapi si mati (niyahah), seperti perempuan yang meraung menangis sambil menampar-nampar pipinya dan merobek-robek pakaiannya. Ini kerana, orang yang menyediakan makanan untuk orang yang meratapi itu bekerjasama dalam maksiat. (I‘anah At-Thalibin: 2/165)

Adapun bagi ahli keluarga si mati itu sendiri adalah makruh menyediakan makanan dan mengumpulkan orang ramai bagi menjamu jamuan itu, kerana ia boleh menambahkan lagi kesedihan, kesibukan di samping menguruskan jenazah dan ia juga boleh menyerupai perbuatan orang jahiliah dan perbuatan ini juga adalah bid‘ah makruhah. Sebagaimana dalam sebuah hadis daripada Jarir bin Abdillah Al- Bajaliy berkata yang maksudnya :

"Kami (sahabat) mengiktibarkan berhimpun di tempat ahli keluarga si mati dan mereka (ahli keluarga si mati) membuat jamuan makanan selepas penguburan si mati: itu adalah sebagai satu niyahah (ratapan).” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Adapun jika jamuan makan yang biasa dilakukan itu bertujuan untuk mendapatkan rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala bagi si mati, maka tujuan itu adalah baik.

Akan tetapi jika ahli keluarga si mati itu memberatkan diri dengan berbagai-bagai makanan dengan tujuan ria’, bermegah-megah dan perkara-perkara yang boleh membawa kepada ria’ dan bertujuan untuk meratapi si mati, maka itu adalah perbuatan orang jahiliah.

Lafaz Ta‘ziah


Sebagaimana penjelasan di atas, sunat ke atas orang Islam mengucapkan ta‘ziah kepada orang yang ditimpa musibah.

Adapun ucapan ta‘ziah itu jika ditujukan kepada ahli keluarga yang Islam dan bagi si mati yang Islam, lafaznya adalah seperti berikut yang ertinya :
"Semoga Allah membesarkan pahalamu dan membaikkan kesabaranmu dan mengampunkan bagi si matimu.”

Seluruh warga IPG KSM mengucapkan ucapan takziah atas kematian bapa beliau  dan diharapkan kutipan dan penyerahan sumbangan daripada warga IPG dapat meringankan beban keluarga beliau...

Semoga roh bapa mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh InsyaAllah..

No comments:

Post a Comment